Discover the Latest from YSD
Stay connected with the latest developments at Yayasan Sime Darby. Learn about the initiatives we are taking in our community and beyond.
Majlis penyampaian sijil tamat latihan program sijil profesional (procert)
Education
TEKS UCAPAN: DR. HJH YATELA ZAINAL ABIDIN, CEO YSD
Salutasi:
- Yang Berusaha Ts. Zulkernai bin Fauzi, Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), Kementerian Pendidikan Malaysia;
- Yang Berbahagia Dato’ Hj Mohd Zamri bin Abdul Aziz, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan;
- En. Yuhanis bin Yusof, Head, Service, Sime Darby Industrial;
- En. Low Keng Ann, Head, Procurement (Asia), Logistics & Facilities, Sime Darby Industrial;
- En. Bong Jen Han, Head Equipment Marketing & Sales, Sime Darby Industrial;
- Puan Intan Suhana Sulaiman, Head, Group Human Resources, Sime Darby Berhad;
- En. Adrin Baharin, Head, People Experience, Retail & Distribution Malaysia, Sime Darby Motors Division;
- Puan Norita Ab Hamid, Head, Centre of Employee Experience, UMW;
- Para Pengarah Kolej Vokasional serta pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia;
- Pelajar Kolej Vokasional yang diraikan; dan hadirin sekalian.
Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera.
- Alhamdulillah, pada pagi ini kita dapat berkumpul bagi meraikan kejayaan seramai 60 pelajar Kolej Vokasional dari kohort ke-2, yang telah tamat latihan Program Sijil Profesional (PROCERT) dalam bidang Enjin Diesel dan Enjin Elektronik di bawah tajaan Yayasan Sime Darby (YSD) dengan kerjasama Sime Darby Industrial Academy atau SDIA.
- Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Ts. Zulkernai serta seluruh warga BPLTV atas sokongan berterusan dalam memastikan program PROCERT ini berjalan dengan lancar. Ianya menjadi penanda aras kepada perkembangan positif kerjasama strategik dalam bidang pendidikan TVET antara YSD, Sime Darby Industrial dan BPLTV sejak memorandum persefahaman termeterai pada November 2023.
- YSD merupakan sebuah yayasan korporat Sime Darby Berhad yang telah memberi impak kepada kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar melebihi 4 dekad melalui 5 teras utama; iaitu pendidikan, alam sekitar, komuniti & kesihatan, sukan dan seni & budaya.
- Meningkatkan akses kepada pendidikan TVET berkualiti dengan kebolehpasaran yang tinggi kepada pelajar B40 serta mereka yang keciciran, merupakan antara agenda utama YSD. Sejak tahun 2007, YSD telah menyokong 1,785 pelajar TVET dengan dermasiswa berjumlah RM41 juta.
- Dalam tempoh 17 tahun ini, YSD telah bekerjasama dengan pelbagai institusi TVET, seperti SDIA, Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), dan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC). Kerjasama ini telah menghasilkan 91% kadar penempatan kerja, dan selebihnya menyambung pelajaran ke peringkat tinggi.
- Inisiatif ini adalah selaras dengan Dasar TVET negara untuk mencapai 35% tenaga kerja mahir tempatan yang berupaya menjana pendapatan tinggi menjelang 2030.
- Hadirin sekalian, Bagi tempoh 3 tahun kerjasama YSD, SDIA dan BPLTV, kita mensasarkan penajaan pendidikan TVET berjumlah RM1.05 juta kepada 180 pelajar B40 Kolej Vokasional dalam 3 kohort.
- Pada majlis kali ini, kita dapat menyaksikan lebih banyak peluang dan sokongan TVET diberikan kepada pelajar B40 di zon utara dan pantai timur, termasuk Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
- Keberkesanan program ini bukan sahaja dinilai dari segi kebolehpasaran pelajar, malah turut membantu meningkatkan kualiti kehidupan keluarga mereka. Sebagai contoh, dalam kohort pertama, Muhammad Nazrol Fahmy bin Masly yang dibesarkan oleh ibu tunggal, kini bekerja sebagai operator sistem penggera kebakaran di Isrina Resources Sdn. Bhd. Kerjaya beliau dapat mengubah kehidupan keluarganya yang dahulunya hanya mampu untuk menyewa sebuah bilik. Syabas saya ucapkan!
- Dalam kohort ke-2 pula, kami berbangga dapat memberikan peluang kepada pelajar seperti Muhammad Hairman bin Mohd Samsuri dari Kolej Vokasional Kuala Krai, Kelantan. Anak ke-4 dari 8 adik-beradik, Hairman gigih menyokong keluarganya dengan bekerja sambilan. Bapanya seorang buruh dan mempunyai masalah penglihatan, manakala ibunya perlu menjalani rawatan kesihatan. Walaupun sibuk membantu keluarga, beliau masih sempat membantu masyarakat setempat dengan menawarkan perkhidmatan percuma untuk menyelenggara enjin dan kotak gear kereta kepada warga emas di kampung beliau. Sikap terpuji ini harus dijadikan teladan. Syabas saya ucapkan!
- Hadirin sekalian, Berdasarkan impak positif daripada Program Sjil PROCERT di SDIA ini, maka, dengan sukacitanya, saya mengumumkan penambahan dana sebanyak RM245,000 untuk menaja 40 lagi pelajar B40 dari Kolej Vokasional terpilih, yang akan bermula pada Disember ini.
- Selain itu, saya juga berharap dapat memperluaskan program TVET melalui kerjasama dengan Sime Darby Motors dan UMW, supaya lebih banyak peluang pendidikan TVET dapat diberikan kepada golongan belia terutamanya di kawasan luar bandar, sekali gus dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka dan menyumbang kepada produktiviti negara.
- Akhir kata, setinggi – tinggi tahniah kepada semua pelajar yang telah menamatkan program ini dengan cemerlang. Kejayaan ini mencerminkan usaha gigih dan dedikasi anda semua. Terima kasih kepada semua yang menyokong pelaksanaan program ini. Semoga anak-anak ini akan terus berjaya dan memberi manfaat kepada masyarakat dan negara, InsyaAllah.
Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.